SIMPULAN BAHASA

Simpulan Bahasa terdiri daripada dua atau lebih perkataan dan mempunyai makna yang berbeza daripada perkataan asal.

Contoh-contoh Simpulan Bahasa

  1. Abang angkat
    Lelaki yang lebih tua daripada seseorang yang tidak mempunyai pertalian keluarga tetapi dianggap sebagai abang sendiri
  2. Abang ipar
    Abang kepada isteri atau suami seseorang
  3. Abang kandung
    Abang seibu dan sebapa
  4. Abu jahal
    Orang yang suka menghalangi usaha yang baik
  5. Abu nawas
    Orang yang bijak melepaskan diri
  6. Ada angin
    Mempunyai perasaan yang tertentu mengikut keadaan
  7. Ada bakat
    Mempunyai kebolehan dalam sesuatu bidang
  8. Ada bukti
    Ada tanda atau keterangan tentang sesuatu hal atau peristiwa
  9. Ada hajat
    Mempunyai keinginan atau maksud
  10. Ada hati
    Mempunyai keinginan lebih daripada keupayaan
  11. Ada jalan
    Ada cara untuk melakukan sesuatu
  12. Air muka
    Wajah atau rupa seseorang
  13. Ajak-ajak ayam
    Tidak sungguh-sungguh mempelawa
  14. Akad nikah
    Perjanjian dalam perkahwinan
  15. Akal kancil
    Orang yang cerdik dan pandai menipu
  16. Alas cakap
    Kata pendahuluan sebelum perundingan atau perbincangan dijalankan
  17. Alas dulang
    Wang hadiah yang ditinggalkan dalam dulang
  18. Alas meja
    Kain penutup meja
  19. Alas perut
    Makan sedikit untuk menghilangkan rasa lapar
  20. Ambil angin
    Bersiar-siar
  21. Ambil berat
    Memberikan perhatian
  22. Ambil hati
    Membuat sesuatu untuk menggembirakan orang lain
  23. Ambil masa
    Tidak tergopoh-gopoh; memakan masa
  24. Anak angkat
    Anak orang lain yang dianggap / dijadikan seperti anak sendiri
  25. Anak bapa
    Anak lelaki kesayangan sesebuah keluarga
  26. Anak beranak
    Sekeluarga
  27. Anak buah
    Orang yang di bawah jagaan seorang ketua
  28. Anak buangan
    Orang yang tersingkir daripada sesebuah keluarga
  29. Anak cucu
    Keturunan; zuriat
  30. Anak dara
    Gadis yang belum berkahwin
  31. Anak dayung
    Orang yang mendayung perahu
  32. Anak emas
    Anak kesayangan
  33. Anak haram
    Anak luar nikah
  34. Anak kembar
    Anak yang dilahirkan bersama-sama daripada satu kandungan
  35. Anak sulung
    Anak yang tertua atau pertama
  36. Angin-angin
    Khabar yang belum tentu benar salahnya
  37. Angin berkisar
    Berpaling tadah
  38. Angin buritan
    Angin yang mengikut arah perahu
  39. Angin gila
    Kelakuan yang tidak tentu arah
  40. Angin lalu
    Khabar yang tidak tentu benar atau salahnya
  41. Angin ribut
    Taufan
  42. Angkat alis
    Menunjukkan rasa atau tanda hairan
  43. Angkat bahu
    Menyatakan tidak tahu
  44. Angkat diri
    Sombong
  45. Angkat suara
    Meninggikan suara
  46. Angkat sumpah
    Bersumpah
  47. Asam garam
    Pengalaman hidup
  48. Atas angin
    Negara-negara di Timur Tengah dan Eropah
  49. Atas pagar
    Tidak menyebelahi mana-mana pihak
  50. Ayam tambatan
    Orang harapan dalam sesuatu pertandingan atau perlawanan
  51. Bahasa daerah
    Bahasa yang digunakan di daerah tertentu sahaja
  52. Bahasa kesat
    Bahasa atau tutur kata yang kasar, kotor, dan menyakitkan hati
  53. Bahasa ibunda
    Bahasa sendiri
  54. Bahasa dalam
    Bahasa yang digunakan oleh raja-raja
  55. Bangkai bernyawa
    Orang yang tidak berguna langsung
  56. Banyak akal
    Banyak helah
  57. Banyak lemak
    Kelakuan yang mengada-ngada
  58. Banyak mulut
    Suka bercakap banyak
  59. Bapa ayam
    Lelaki yang berkahwin banyak tetapi tidak menghiraukan anak-anaknya
  60. Barang berkat
    Barang yang halal
  61. Barang kemas
    Barang-barang berharga yang dipakai oleh kaum wanita, seperti cincin emas, loket berlian, dan sebagainya
  62. Batu api
    Orang yang menghasut dua pihak yang lain sehingga bergaduh
  63. Batu loncatan
    Sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan
  64. Bau-bau bacang
    Tali persaudaraan yang jauh
  65. Bawa berunding
    Diajak bermuafakat
  66. Bawa bermenung
    Memikirkan masak-masak
  67. Bawa bersemuka
    Bawa bertemu muka; berunding
  68. Bawa hati
    Perasaan kecewa
  69. Bawa kaki
    Berjalan tanpa hala tujuan
  70. Bawa ke tengah
    Bawa ke muka pengadilan
  71. Bawah angin
    Negara-negara yang terletak di sebelah timur
  72. Bawah umur
    Belum dewasa
  73. Bekas tangan
    Hasil buatan sendiri; pukulan
  74. Bengkak perut
    Sakit hati
  75. Berani mati
    Tidak takut mati
  76. Berat kepala
    Sukar menerima pelajaran
  77. Berat lidah
    Pendiam
  78. Berat mata
    Mengantuk
  79. Berat sebelah
    Tidak adil
  80. Berat tulang
    Malas bekerja
  81. Berbulan madu
    Bersiar-siar ke tempat lain setelah berkahwin
  82. Berganti tikar
    Mengahwini kakak atau adik isterinya setelah isterinya meninggal dunia
  83. Beri muka
    Memberikan kebebasan atau memanjakan seseorang
  84. Bermain kayu tiga
    Melakukan perbuatan yang jahat
  85. Bertegang leher
    Bertengkar
  86. Besar hati
    Gembira
  87. Besar kepala
    Degil
  88. Bidan terjun
    Orang yang disuruh membuat sesuatu secara mendadak
  89. Bintang hati
    Kekasih
  90. Bodoh alang
    Bodoh sedikit
  91. Bodoh sepat
    Kelihatan bodoh tetapi sebenarnya cerdik
  92. Bongkok sabut
    Bongkok orang tua
  93. Buah fikiran
    Pendapat
  94. Buah mulut
    Perkara yang menjadi percakapan orang ramai
  95. Buat duit
    Melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan keuntungan
  96. Buaya darat
    Lelaki yang suka menukar teman wanitanya
  97. Buka mata
    Ambil tahu atau sedar
  98. Buruk makan
    Gelojoh atau pelahap
  99. Buta huruf
    Tidak tahu menulis dan membaca
  100. Cacing kepanasan
    Gelisah
  101. Cahaya mata
    Anak
  102. Gaji buta
    Gaji yang diterima tanpa bekerja
  103. Cakap angin
    Percakapan yang belum tentu betul salahnya
  104. Cakar ayam
    Tulisan yang buruk
  105. Cakap besar
    Mengatakan tahu atau pandai, tetapi sebenarnya tidak pandai
  106. Campur aduk
    Bercampur dengan tidak menentu lagi
  107. Campur tangan
    Turut serta dalam urusan orang lain
  108. Cangkul angin
    Perbuatan yang sia-sia
  109. Cantik molek
    Elok rupa paras
  110. Cari akal
    Mencari jalan
  111. Cari fasal
    Sengaja mencari sebab untuk bergaduh
  112. Cari nama
    Berikhtiar atau membuat jasa supaya nama menjadi masyhur
  113. Cencaru makan petang
    Permainan yang semakin baik pada akhir pertandingan
  114. Cepat tangan
    Orang yang cekap mencari
  115. Cinta monyet
    Cinta anak-anak kecil
  116. Curi hati
    Melakukan daya penarik untuk memikat hati orang supaya mendatangkan kasih
  117. Curi tulang
    Mengelak daripada bekerja semasa waktu kerja
  118. Dakap bantal
    Kecewa atau putus harapan
  119. Daki dunia
    Harta benda seperti wang, emas, permata, dan lain-lain.
  120. Dalam tangan
    Sudah tentu dapat
  121. Dapat bahagian
    Menerima pukulan atau denda
  122. Dapat terpijak
    Mendapat sesuatu dengan mudah
  123. Darah ikan
    Buah yang baru separuh masak; warna yang merah
  124. Darah daging
    Anak kandung
  125. Darah muda
    Semangat atau perasaan orang muda
  126. Datang hati
    Sampai hati atau tergamak
  127. Daya penarik
    Mempunyai sesuatu kebolehan atau kuasa yang boleh memikat hati seseorang
  128. Delima merkah
    Bibir yang merah
  129. Demam puyuh
    Berpura-pura demam
  130. Dendam kesumat
    Kebencian yang amat sangat
  131. Diam ubi
    Diam orang berakal kerana berfikir
  132. Diam penggali
    Diam orang yang bodoh
  133. Dingin kepala
    Berfikiran tenang dan sihat
  134. Dua sejoli
    Sepasang (kekasih atau suami isteri)
  135. Duit kopi
    Bayaran tidak rasmi sebagai sagu hati
  136. Durian runtuh
    Keuntungan besar yang diperoleh tanpa bersusah payah
  137. Garam hidup
    Pengalaman hidup
  138. Gatal mulut
    Suka mencela orang
  139. Gatal tangan
    Suka melakukan kerja yang bukan-bukan
  140. Gelap mata
    Hilang pertimbangan fikiran; pitam
  141. Geli hati
    Rasa hendak ketawa
  142. Gelora hati
    Perasaan hati
  143. Genap bulan
    Sudah cukup masa (melahirkan anak)
  144. Genggam bara
    Membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh
  145. Gerak hati
    Rasa yang lahir dari dalam hati
  146. Gerhana matahari
    Dalam kesusahan
  147. Gila babi
    Sejenis penyakit sawan
  148. Gila bahasa
    Kurang waras fikiran
  149. Gila bayang
    Mencintai seseorang tetapi tidak mendapat balasan
  150. Gila harta
    Mementingkan atau mengejar harta dunia
  151. Gila pangkat
    Orang yang selalu mengejar pangkat
  152. Golok kayu
    Orang yang bodoh tetapi berlagak seperti orang yang pandai
  153. Gulung tikar
    Berhenti membuat sesuatu pekerjaan kerana kerugian
  154. Habis akal
    Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi
  155. Halwa telinga
    Sesuatu yang menyedapkan pendengaran
  156. Hampa tangan
    Tidak membawa atau mendapat apa-apa
  157. Hancur hati
    Sedih
  158. Hanyut diri
    Sesat langkah
  159. Harga diri
    Kehormatan diri; maruah
  160. Harga pokok
    Harga asal sesuatu barang
  161. Harga mati
    Harga yang tetap dan tidak boleh ditawar lagi
  162. Hati batu
    Tidak menaruh belas kasihan
  163. Hati emas
    Baik hati
  164. Hati tikus
    Penakut
  165. Hentam keromo
    Memukul atau mengkritik tanpa usul periksa
  166. Hidung belang
    Lelaki yang suka mengganggu perempuan
  167. Hidung tinggi
    Sombong atau bongkak
  168. Hilang akal
    Tidak tahu apa yang harus dibuat lagi; agak kurang waras
  169. Hisap darah
    Mengambil keuntungan yang berlebihan
  170. Hisap jari
    Menunjukkan kekecewaan
  171. Hitam manis
    Orang yang berkulit agak gelap tetapi cantik dipandang
  172. Hujan panas
    Hujan tetapi matahari kelihatan bersinar
  173. Ibu angkat
    Wanita yang dianggap seperti ibu sendiri oleh orang lain
  174. Ibu ayam
    Perempuan yang memperdagangkan pelacur
  175. Ibu kandung
    Ibu sendiri
  176. Ibu pertiwi
    Tanah tempat tumpah darah
  177. Idah gelap
    Pemberian tanda cinta tanpa bercadang untuk berkahwin
  178. Ikat perut
    Menahan lapar kerana hendak berjimat
  179. Ikut telunjuk
    Mengikut segala perintah orang
  180. Iri hati
    Cemburu
  181. Isi rumah
    Keluarga atau penghuni sesebuah rumah
  182. Jadi umang-umang
    Suka memakai pakaian orang lain
  183. Jaga mulut
    Berhati-hati dalam percakapan
  184. Jalan buntu
    Tidak mendapat sebarang kata sepakat atau penyelesaian
  185. Janda berhias
    Perempuan yang kematian suami dan belum disentuh oleh suaminya
  186. Jantung hati
    Orang yang amat dicintai
  187. Jatuh hati
    Jatuh cinta
  188. Jauh hati
    Tersinggung atau merajuk
  189. Jejak-jejak bara
    Hampir tercecah ke tanah
  190. Jinak-jinak merpati
    Perempuan yang pada lahirnya mudah dipikat tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangkakan
  191. Jiwa besar
    Mempunyai cita-cita yang tinggi dan mulia
  192. Kaki ayam
    Tidak memakai kasut
  193. Kaki bola
    Orang yang sangat suka bermain atau menonton perlawanan bola sepak
  194. Kaki borak
    Orang yang sangat suka berbual
  195. Kaki judi
    Orang yang suka berjudi
  196. Kaki botol
    Peminum arak
  197. Kacang hantu
    Orang yang jahat
  198. Kaki lima
    Kawasan laluan di hadapan kedai
  199. Kecil hati
    Tersinggung
  200. Kepala angin
    Orang yang mudah berubah perangainya
  201. Kepala batu
    Tidak mahu mendengar nasihat
  202. Kera sumbang
    Orang yang selalu mengasingkan diri daripada orang lain
  203. Kerang busuk
    Tersengih-sengih dengan tidak menentu
  204. Keras kepala
    Tidak mahu mengalah; degil
  205. Kerja tangan
    Hasil kerja yang dibuat dengan tangan
  206. Kering darah
    Terperanjat
  207. Ketam batu
    Kedekut
  208. Khabar angin
    Berita yang belum tentu sah kebenarannya
  209. Kucing kurap
    Orang yang sangat hina dalam masyarakat
  210. Kuku besi
    Memerintah dengan zalim
  211. Kutu embun
    Orang yang suka berfoya-foya hingga larut malam
  212. Lancang mulut
    Mudah mengeluarkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain
  213. Langkah bendul
    Adik perempuan berkahwin dahulu daripada kakaknya
  214. Langkah kanan
    Untung
  215. Langkah kiri
    Malang
  216. Langkah seribu
    Cabut lari
  217. Lari anak
    Berlari dengan langkah yang pendek; berlari perlahan
  218. Lebai malang
    Orang yang selalu malang
  219. Lemah semangat
    Orang yang mudah terperanjat
  220. Lepas tangan
    Tidak masuk campur dalam sesuatu hal
  221. Lidah biawak
    Percakapan yang selalu berubah-ubah
  222. Lidah beracun
    Kata-kata yang menyakitkan hati
  223. Lintah darat
    Orang yang sering mahu akan keuntungan yang tinggi
  224. Lipas kudung
    Membuat kerja dengan cepat
  225. Loyar buruk
    Orang yang membangkang sebab mencari kemenangan
  226. Lupa daratan
    Lupa diri atau lupa akan asal usul
  227. Mabuk cendawan
    Jatuh cinta
  228. Mahkota hati
    Kekasih
  229. Makan angin
    Pergi bercuti
  230. Makan gaji
    Bekerja untuk mendapatkan upah
  231. Makan hati
    Bersedih kerana perbuatan orang lain
  232. Makan suap
    Menerima rasuah
  233. Malu-malu kucing
    Pura-pura malu
  234. Mandi darah
    Berlumuran darah
  235. Mandi kerbau
    Mandi dengan tidak bergosok dan bersabun
  236. Masin lidah
    Terbukti benar atau berlaku apa-apa yang diucapkan oleh seseorang
  237. Masuk jawi
    Bersunat atau berkhatan
  238. Mata duitan
    Terlalu tamak akan wang
  239. Mata keranjang
    Lelaki yang suka melihat perempuan cantik
  240. Mati celik
    Mati sebelum tercapai hajat atau cita-cita
  241. Mati katak
    Kematian yang sia-sia
  242. Mengadu untung
    Mencari rezeki
  243. Menjolok mata
    Perbuatan yang keterlaluan
  244. Muka dua
    Orang yang menyebelahi kedua-dua belah pihak
  245. Muka tebal
    Tidak tahu malu
  246. Mulut manis
    Lemah lembut tutur kata
  247. Mulut murai
    Orang yang becok
  248. Nafsu makan
    Keinginan untuk makan (kemaruk)
  249. Naik angin
    Meradang
  250. Naik kepala
    Mengada-ngada
  251. Naik pelamin
    Berkahwin
  252. Naik saksi
    Menjadi saksi
  253. Nipis telinga
    Lekas marah
  254. Nyawa-nyawa ikan
    Hampir mati
  255. Orang atas
    Orang yang berpangkat besar
  256. Orang bawah
    Orang yang berpangkat rendah; orang biasa
  257. Otak cair
    Orang yang pantas berfikir dan bijak
  258. Orang gaji
    Orang yang diberi upah kerana bekerja di rumah
  259. Orang harapan
    Orang yang dipercayai
  260. Orang rumah
    Isteri
  261. Otak udang
    Bodoh
  262. Panas hati
    Marah dalam hati
  263. Panjang akal
    Cerdik
  264. Panjang tangan
    Suka mencuri
  265. Panjang umur
    Hidup sangat lama
  266. Pasang badan
    Berhias diri
  267. Pasang telinga
    Mendengar dengan teliti
  268. Pasar gelap
    Menjual barang-barang tanpa mengikut undang-undang
  269. Patah hati
    Kecewa
  270. Patung bernyawa
    Hidup tanpa cita-cita
  271. Payung mahkota
    Raja yang memerintah
  272. Pecah tembelang
    Terbuka rahsia
  273. Pekak badak
    Betul-betul pekak; pura-pura tidak dengar
  274. Perang dingin
    Perang yang belum menggunakan senjata
  275. Perang mulut
    Bergaduh dengan menggunakan kata-kata yang kasar
  276. Pilih kasih
    Berat sebelah
  277. Pisau cukur
    Perempuan yang suka menghabiskan wang lelaki
  278. Puteri lilin
    Gadis yang tidak tahan panas
  279. Putih hati
    Jujur
  280. Putih tulang
    Lebih baik mati
  281. Rabun ayam
    Kurang jelas atau kurang terang penglihatannya
  282. Raja sehari
    Pengantin baharu
  283. Rambang mata
    Sukar untuk memilih kerana semuanya cantik
  284. Retak tangan
    Nasib badan
  285. Ringan mulut
    Peramah; suka bercakap-cakap
  286. Ringan tangan
    Suka mencuri; suka menolong
  287. Ringan tulang
    Rajin bekerja
  288. Rosak nama
    Hilang kehormatan
  289. Sakit hati
    Berasa marah atau tersinggung kerana dihina atau ditipu
  290. Sampai hati
    Tergamak atau tidak menaruh belas kasihan
  291. Sejuk hati
    Tenang
  292. Senapang bambu
    Orang yang nampaknya berbahaya tetapi sebenarnya tidak
  293. Senyum kambing
    Senyum mengejek
  294. Serkap jarang
    Menuduh tanpa usul periksa
  295. Setengah masak
    Belum sempurna
  296. Tabir besi
    Negara-negara blok Rusia
  297. Tahi judi
    Orang yang suka berjudi
  298. Tajam akal
    Pintar
  299. Tajam mulut
    Suka mengeluarkan kata-kata yang pedas
  300. Talak tiga
    Penceraian yang tidak boleh dirujuk lagi
  301. Tanda mata
    Hadiah sebagai ingatan
  302. Tangan terbuka
    Murah hati atau suka menolong
  303. Tangkai jering
    Orang yang sangat kedekut
  304. Tangkap basah
    Ditangkap semasa lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berdua-duaan di tempat yang sunyi dan terlindung
  305. Telinga kuali
    Orang yang tahan hati walaupun dihina dan dicerca
  306. Telinga lintah
    Tajam pendengaran
  307. Terang hati
    Mudah mengerti
  308. Terbit keringat
    Malu atau segan; bekerja bertungkus lumus
  309. Tiang kampung
    Orang yang tertua di sesebuah kampung
  310. Tidur ayam
    Tidur yang tidak nyenyak
  311. Tin kosong
    Orang yang tidak berpelajaran tetapi bercakap besar
  312. Tipis harapan
    Harapan yang sedikit untuk memperoleh sesuatu
  313. Tua keladi
    Orang tua yang berkelakuan seperti orang muda
  314. Tulang belakang
    Orang yang menjadi tunjang kekuatan atau harapan
  315. Ubat basah
    Berita yang tidak dipercayai orang
  316. Ukur jalan
    Orang yang tidak mempunyai pekerjaan selain berjalan-jalan sahaja tanpa tujuan
  317. Undi sulit
    Mengundi dengan tidak diketahui oleh orang lain
  318. Untung batu
    Nasib malang
  319. Urut dada
    Menahan perasaan
  320. Wang buta
    Wang upah yang diberi kepada orang yang sudah bersara
  321. Wang hangus
    Wang yang diberi oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk perbelanjaan kahwin
  322. Wang sogok
    Wang suap atau rasuah
  323. Yatim piatu
    Orang yang tidak mempunyai ayah dan ibu
  324. Zaman atom
    Zaman yang penuh dengan kemajuan
  325. Zaman batu
    Zaman dahulu kala

KATA-KATA HIKMAH






KOLEKSI PANTUN


PANTUN LAGU

Pantun Lagu Joget Pahang

Dari Melaka pergi ke Pahang
Singgah di Johor beli barangan
Kami mengucap Selamat Datang
Apa yang kurang dikeji jangan

Negeri Pahang aman sentosa
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan
Niat di hati nak buat jasa
Mudah-mudahan Tuhan makbulkan

Pukul gendang kulit kerbau
Dalam majlis tari-menari
Kami ini dagang merantau
Mengharap belas orang di sini



Pantun Lagu Sri Mersing

Seri Mersing lagulah Melayu
Dikarang oleh biduan dahulu
Hatiku rungsing bertambah pilu
Mengenang nasib untung diriku

Tidaklah boleh selandak padi
Sekamlah juga ditumbuk luluh
Tidak boleh kehendak hati
Kehendak Allah juga yang sungguh

Tidaklah boleh dikenang-kenang
Airmataku jatuh berlinang
Karam dilaut boleh kurenang
Karamlah di hati bila nak senang?

Pagi-pagi pergi ke sawah
Hendak ditajak pokok mengkudu
Luka ditangan nampak berdarah
Luka dihati siapa yang tahu?

Asal kapas menjadi benang
Dari benang menjadi kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak yang lain



PANTUN NASIHAT

Orang Jawa mencari benang,
Mencari benang di atas bukit;
Orang jauh jangan dikenang,
Lama-lama jadi penyakit.


Orang mengail di Teluk Bulang,
Apalah umpannya si kulit duku;
Jangan bermain kekasih orang,
Nyawa tersangkut di hujung kuku.


Patah jarum dalam peti,
Buat menjahit kain bertimbun;
Nasihat sepatah kurang dimengerti,
Rupanya penawar beribu tahun.


Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut patah batangnya;
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut susah datangnya.


Bawa mari ke kedai Cina,
Kerana itu buah dagangan;
Hidup kita biar sempurna,
Kerana dunia ini adalah tumpangan.


Beras kisar mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian;
Tak ada orang menyesal dahulu,
Banyak orang menyesal kemudian.


Bukan tidak saya katakan,
Merbuk biasa makan di papan;
Bukan tidak saya katakan,
Buah mabuk jangan dimakan.


Bukit Jertih berhutan buluh,
Tempat raja pergi memburu;
Minta selisih malaikat empat puluh,
Janganlah saya diberi malu.


Orang hulu memalu nobat,
Nobat dipalu kayu berangan;
Fikir dahulu sebelum buat,
Kalau dibuat menyesal jangan.


Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Pakai baju warna biru,
Pergi ke sekolah pukul satu;
Murid sentiasa hormatkan guru ,
Kerana guru pembekal ilmu.


PANTUN BERKASIH

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Pasir putih di pinggir kali
Pekan menyabung ayam berlaga
Kasih tak boleh dijual beli
Bukannya benda buat berniaga

Petik sayur si daun maman
Makan berulam daun pegaga
Habis tahun berganti zaman
Kasih adinda kunanti jua

Hijau nampaknya Bukit Barisan
Puncak Tanggamus dengan Singgalang
Terbang nyawa dari badan
Kasih di hati takkan hilang

Indra Giri pasirnya lumat
Kerang bercampur dengan lokan
Ibarat Nabi kasihkan umat
Begitu saya kasihkan tuan

Bunga Melati terapung-apung
Bunga rampai di dalam puan
Rindu hati tidak tertanggung
Bilakah dapat berjumpa tuan?

Burung merbuk membuat sarang
Anak enggang meniti di paya
Tembaga buruk di mata orang
Intan berkarang di hati saya

Kalau roboh kota Melaka
Sayang selasih di dalam puan
Kalau sungguh bagai dikata
Rasa nak mati di pangkuan tuan

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan nyawa saya serahkan

Anak campuran Cina-Melaka
Pulang ke rumah di Bukit Pekan
Andai kena dengan cara
Nyawa dan badan saya berikan

Anak ruan tidak terluang
Benang sutera di dalam buluh
Hendak buang tidak terbuang
Sudah mesra di dalam tubuh

Tumbuk padi jadikan emping
Buat juadah teman sebaya
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Kain cindai dilipat-lipat
Lipat mari tepi perigi
Kalau pandai Tuan memikat
Burung terbang menyerah diri

Kiri jalan kanan pun jalan
Sama tengah pokok mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggung rindu

                                                                                 

Koleksi Pantun ini dipetik dari:
Sukma Rindu. mypantun.blogspot

 



JENIS-JENIS AYAT

Ayat Permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata-kata permintaan seperti minta atau tolong dengan maksud memohon bantuan atau meminta sesuatu.  Contohnya:

1) Minta murid-murid semua bertenang.
2) Tolong angkat sampah ini.
3) Tolong tutup pintu depan.

Ayat Silaan

Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti jemput, mari, sila dan sebagainya dengan maksud mempersilakan atau menjemput seseorang.  Misalnya :-

1) Jemput makan.
2) Mari masuk.
3) Sila duduk.

Ayat Larangan

Ayat larangan sering menggunakan kata-kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan maksud menegah atau melarang seseorang melakukan sesuatu.  Misalnya :-

1) Jangan memandai-mandai!
2) Usah dikenang peristiwa lalu.
3) Tak usah kau datang lagi.

Ayat Suruhan

Ayat suruhan merupakan ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau suruhan.  Subjek berupa ganti nama kedua seperti awak, kamu, engkau dan lain-lain lagi lazimnya digugurkan.  Contohnya :-

1) Tembak anjing gila itu.
2) Pergi dari sini!
3) Basuh pinggan mangkuk!

Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya berbuat sesuatu atau melakukan sesuatu.  Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu :-

1) Ayat Suruhan
2) Ayat Larangan
3) Ayat Silaan
4) Ayat Permintaan

Pelajar boleh mengikuti perbincangan dan contoh bagi setiap jenis ayat di atas pada entri yang berikutnya.

Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru seperti ah, amboi, cis, eh, syabas, wah dan lain-lain serta diakhiri dengan tanda seru (!) apabila dituliskan.

Contohnya :-

1) Amboi, cantik betul!
2) Cis, terimalah tikaman aku ini!
3) Syabas, engkau telah berjaya!
4) Wah, besar sungguh keretamu!

Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanya seseorang atau untuk menanyakan sesuatu.  Berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu, ayat tanya boleh digolongkan kepada dua jenis, iaitu :-

A) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya

Contohnya :-

1) Dia terkejut?
2) Madu ini masam?
3) Dia ke masjidkah?
4) Kamukah yang menconteng buku itu?

B) Ayat Tanya Dengan Kata Tanya

Contohnya :-

1) Itu apa?
2) Orang itu siapa?
3) Ibu bapa awak mana?
4) Bilakah kita hendak bertolak ke Negara Thai?

Ayat Penyata

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu dengan pernyataan atau memberi keterangan sesuatu hal, biasanya diakhiri dengan tanda noktah (.). Misalnya :-

1) Ah Chong sedang tidur.
2) Emak guru.
3) Dia di kedai buku.

KATA MAJMUK

KATA MAJMUK 

1. Kata majmuk terbentuk daripada dua patah kata. 

2. Hasil daripada dua patah perkataan ini membawa makna tertentu. 

3. Contoh kata majmuk:



jam tangan
jalan raya
kereta api
kipas angin
kad undangan
nasi lemak
kapal terbang
sarung tangan
peti sejuk



LATIHAN : KATA MAJMUK

Pilih perkataan yang sesuai untuk melengkapkan ayat di bawah.


gambar rajah           matahari              jalan raya        pasaraya 
atur cara          balai raya                lalu lintas            tandatangan


1.   Ramai orang ke _____________________ untuk membeli barang-barang keperluan.
2.   __________________ baharu akan dibina di Taman Sentosa.
3.   Cahaya __________________ pada waktu pagi membekalkan vitamin D.
4.   __________________majlis akan dimulakan sebenar lagi.
5.   ___________________ ini perlu dilukis dalam buku latihan.
6.   Semua murid perlu mendapatkan___________________ daripada ibu bapa.
7.   Mesyuarat itu diadakan di____________________ kampung sekolah.
8.   Kesesakan ____________________ berpunca daripada lampu isyarat yang tidak berfungsi.