JENIS-JENIS AYAT

Ayat Permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata-kata permintaan seperti minta atau tolong dengan maksud memohon bantuan atau meminta sesuatu.  Contohnya:

1) Minta murid-murid semua bertenang.
2) Tolong angkat sampah ini.
3) Tolong tutup pintu depan.

Ayat Silaan

Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti jemput, mari, sila dan sebagainya dengan maksud mempersilakan atau menjemput seseorang.  Misalnya :-

1) Jemput makan.
2) Mari masuk.
3) Sila duduk.

Ayat Larangan

Ayat larangan sering menggunakan kata-kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan maksud menegah atau melarang seseorang melakukan sesuatu.  Misalnya :-

1) Jangan memandai-mandai!
2) Usah dikenang peristiwa lalu.
3) Tak usah kau datang lagi.

Ayat Suruhan

Ayat suruhan merupakan ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau suruhan.  Subjek berupa ganti nama kedua seperti awak, kamu, engkau dan lain-lain lagi lazimnya digugurkan.  Contohnya :-

1) Tembak anjing gila itu.
2) Pergi dari sini!
3) Basuh pinggan mangkuk!

Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya berbuat sesuatu atau melakukan sesuatu.  Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu :-

1) Ayat Suruhan
2) Ayat Larangan
3) Ayat Silaan
4) Ayat Permintaan

Pelajar boleh mengikuti perbincangan dan contoh bagi setiap jenis ayat di atas pada entri yang berikutnya.

Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru seperti ah, amboi, cis, eh, syabas, wah dan lain-lain serta diakhiri dengan tanda seru (!) apabila dituliskan.

Contohnya :-

1) Amboi, cantik betul!
2) Cis, terimalah tikaman aku ini!
3) Syabas, engkau telah berjaya!
4) Wah, besar sungguh keretamu!

Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanya seseorang atau untuk menanyakan sesuatu.  Berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu, ayat tanya boleh digolongkan kepada dua jenis, iaitu :-

A) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya

Contohnya :-

1) Dia terkejut?
2) Madu ini masam?
3) Dia ke masjidkah?
4) Kamukah yang menconteng buku itu?

B) Ayat Tanya Dengan Kata Tanya

Contohnya :-

1) Itu apa?
2) Orang itu siapa?
3) Ibu bapa awak mana?
4) Bilakah kita hendak bertolak ke Negara Thai?

Ayat Penyata

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu dengan pernyataan atau memberi keterangan sesuatu hal, biasanya diakhiri dengan tanda noktah (.). Misalnya :-

1) Ah Chong sedang tidur.
2) Emak guru.
3) Dia di kedai buku.